Qasidah Burdah dikarang oleh Imam al-Busiri yang dilahirkan pada
tahun 610 Hijrah (1213 Masehi) dan meninggal dunia pada tahun 695 Hijrah
(1296 Masehi). Beliau telah diasuh oleh ayahandanya sendiri dalam
mempelajari al-Quran dan ilmu pengetahuan yang lain. Untuk
memperdalamkan lagi ilmu agama dan kesusasteraan Arab, Imam al-Busiri
lalu berhijrah ke Kaherah. Di Kaherah, Imam al-Busiri menjadi seorang
sasterawan dan penyair yang ulung. Kemahirannya didalam bidang syair
mengatasi para penyair lain dizamannya. Karya-karya kaligrafinya juga
terkenal dengan keindahannya. Gurunya yang paling utama ialah Abdul
Abbas al-Mursi yang merupakan anak murid kepada pengasas tariqat Shazili
iaitu Imam Abul Hasan as-Shazili.

- Manuskrip burdah yang masih tersimpan
Qasidah Burdah mengandungi 160 bait yang ditulis dengan gaya bahasa
atau uslub yang menarik, lembut dan elegan. Imam al-Busiri
menterjemahkan kehidupan Nabi Muhammad saw kedalam bentuk bait-bait
puisi yang sangat indah. Dengan bahasa yang sebegitu indah, Imam
al-Busiri telah berhasil menanamkan kecintaan dan kasihnya umat Islam
kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw dengan lebih mendalam. Selain
dari rasa kecintaan dan kasih yang mendalam terhadap Nabi saw,
nilai-nilai sastera, sejarah dan moral turut terkandung dalam qasidah
tersebut. Oleh itu, tidak hairanlah apabila qasidah ini sentiasa sahaja
dibaca di institusi-institusi pengajian tradisional malah qasidah ini
turut diajar di Universiti al-Azhar, Mesir.
Imam al-Busiri hidup dalam zaman transisi atau perpindahan kuasa
dinasti Ayyubiyyah kepada dinastik Mamalik Bahriyah. Pada ketika itu,
pergolakan politik semakin gawat, akhlak masyarakat merosot dan para
pemerintah terlalu mengejar kemewahan. Maka dalam suasana serba
kekalutan itu, muncullah Qasidah yang dikarang oleh Imam al-Busiri yang
seakan-akan mengajak manusia kembali mencontohi kehdupan Nabi saw yang
berasaskan uswatun hasanah yakni suri tauladan yang baik, mengawal hawa
nafsu dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar yang berasaskan
al-Quran dan Hadith.
Burdah yang menjadi tema utama dalam karya al-Busiri itu adalah
merujuk kepada jubah yang dipakai oleh Nabi Muhammad saw. Burdah milik
Nabi Muhammad saw ini telah diberikan kepada Ka’ab bin Zuhair bin Abi
Salma, seorang penyair terkenal Muhadramin (penyair dua zaman iaitu
Jahiliyyah dan Islam). Riwayat pemberian burdah oleh Rasulullah saw
kepada Ka’ab bin Zuhair bermula apabila Ka’ab sentiasa menggubah syair
yang mengejek-ejek Nabi saw dan para sahabat. Kerana rasa jiwanya
terancam, ia lari bersembunyi untuk melindungi diri dari kemarahan para
sahabat. Ketika terjadi penaklukan Makkah, saudara Ka’ab yang bernama
Bujair bin Zuhair mengutus surat kepadanya yang isinya antara lain
menganjurkan Ka’ab agar pulang bertaubat dan berjumpa Rasulullah saw.
Setelah memahami isi surat itu, Ka’ab pun pulang ke rumah dan
bertaubat. Ka’ab lalu berangkat menuju ke Madinah. Menerusi Abu Bakar
as-Siddiq, Ka’ab menyerahkan diri kepada Rasulullah saw. Ka’ab mendapat
penghormatan yang tinggi dari Rasulullah saw sehinggalah baginda
melepaskan burdahnya dan diberikan kepada Ka’ab. Ka’ab kemudiannya
menggubah sebuah qasidah yang dikenali dengan nama Qasidah Burdah.
Qasidah ini ditulis dengan indah oleh seorang ahli kaligrafi, Hasyim
Muhammad al-Baghdadi didalam kitab kaligrafinya yang berjudul Qawaid
al-Khat al-Arabi. Burdah yang diberikan oleh Rasulullah saw kepada Ka’ab
kemudiannya menjadi milik keluarga Ka’ab sehinggalah ia dibeli oleh
Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan dengan harga dua puluh ribu dirham.
Burdah itu kemudiannya dibeli pula oleh Khalifah Abu Ja’far al-Mansur
dari dinasti Abbasiyyah dengan harga empat puluh ribu dirham. Burdah itu
seterusnya dipakai pada setiap kali solat hari raya oleh khalifah dan
kemudiannya menjadi tradisi turun-temurun.

- Manuskrip qasidah burdah yang ditulis tangan
Diringkaskan sehingga bagaimana Qasida Burdah ini menjadi terkenal
bermula apabila Imam al-Busiri tiba-tiba jatuh sakit dan diserang
penyakit Syalal (lumpuh). Mengikut catatan ahli tarikh, beliau lumpuh
separuh badan. Tabib-tabib yang terkemuka gagal mengubat penyakitnya.
Dalam keadaan kesakitan dan tidak berdaya, Imam al-Busiri mengarang
qasidah yang berkaitan dengan Nabi Muhammad saw. Qasidah-qasidah ini
disusun dengan begitu indah dan diulang-ulang oleh Imam al-Busiri.
Kemuncaknya,pada satu malam ketika Imam al-Busiri tertidur, beliau
bermimpi melagukan qasidah-qasidah yang dikarangnya di hadapan Baginda
Rasulullah saw sendiri. Rasulullah saw dalam mimpi tersebut begitu
gembira dan menyukai qasidah tersebut, lantas baginda mengusap muka Imam
al-Busiri dengan kedua-dua tangan baginda yang mulia. Rasulullah saw
turut menyentuh bahagian tubuh Imam al-Busiri yang lumpuh dan memakaikan
Imam al-Busiri dengan burdah baginda.
Sebaik sahaja tersedar dari mimpi tersebut, Imam al-Busiri mendapati
beliau tidak lagi lumpuh! Imam al-Busiri dengan segera keluar dari
tempatnya untuk menceritakan kisahnya kepada orang lain. Beliau
bertembung dengan seorang pemuda yang bertanya kepadanya, “Syeikh,
bawakan kepadaku qasidah-qasidah yang telah kau karang tentang Nabi
SAW.” Terkejut dengan permintaan pemuda tersebut, Imam al-Busiri
bertanya, “Dimanakah anda mengetahui tentang qasidah yang kukarang? Aku
tidak pernah menceritakannya mahupun melagukannya kepada sesiapapun!!”
Jawab pemuda tersebut,
“Aku bermimpi malam tadi bahawa Nabi SAW didendangkan dengan qasidah-qasidah yang cukup indah yang memuji baginda. Aku lihat baginda begitu gembira dan menyukai qasidah tersebut dan memakaikan pakaian baginda (burdah) kepada orang yang melagukan qasidah tersebut…Dan aku melihatmu dalam mimpiku!”
Sejak saat tersebut, Qasidah Burdah yang dikarang oleh Imam al-Busiri
menjadi masyhur. Anak-anak Islam pada zaman silam diajarkan tentangnya
dan menjadi nasyid harian. Malahan ramai di antara ‘ulama Islam seperti
Ibnu Hajar Haithami yang menganggap harus untuk mempelajari qasidah ini
bagi penuntut-penuntut ilmu Islam bagi memupuk kecintaan terhadap
baginda Rasulullah SAW. Selain dari Qasidah Burdah, sebuah lagi qasidah
yang sangat terkenal yang dikarang oleh Imam al-Busiri ialah Qsidah
Mudariyya.
*artikel ini dioleh semula oleh Hafizul Hazman Bin Ngaa, Exco
Informasi dan Penerbitan Persatuan Mahasiswa Islam UPM. Beliau merupakan
mahasiswa jurusan Bachelor Perniagaantani dan Pertanian, Fakulti
Pertanian Universiti Putra Malaysia.
nara sumber : https://annasru.wordpress.com/2012/05/02/sejarah-qasidah-burdah/
No comments:
Post a Comment